Bek tengah Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni percaya pengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC bakal beri kelebihan dalam kempen Shopee Cup.
Musim 2023 menyaksikan Terengganu beraksi dalam saingan Piala AFC buat kali pertama sejak edisi 2012. Peteh berada dalam Kumpulan G bersama Central Coast Mariners, Bali United dan Stallion Laguna.
Pada akhir kempen Kumpulan G, Terengganu gagal mara ke pusingan berikutnya selepas menduduki tempat kedua. Menariknya, pasukan itu kekal tanpa kalah sepanjang kempen peringkat kumpulan.
Ini termasuk kejayaan menewaskan The Mariners dalam aksi pertama Kumpulan G pada 20 September 2023. CCM kemudiannya muncul juara Piala AFC edisi 2023/24.
Shahrul Nizam percaya kempen di Asia pada musim lepas membantu Terengganu bersedia menghadapi cabaran Kumpulan A Shopee Cup.
Dan beliau percaya ini akan memberi keyakinan kepada Peteh menonjolkan kualiti skuad yang ada di atas padang.
“Kita akan bertemu pasukan-pasukan terbaik di Asean, ianya sudah cukup menggambarkan tahap kompetitif perlawanan yang akan kita hadapi.
“Kebanyakan dari pemain kita sudah pernah beraksi di pentas Asia, pengalaman ini memberikan kita keyakinan untuk buktikan kualiti yang kita ada. Bermula di tempat sendiri juga memberikan motivasi terbaik buat pasukan kita,” katanya di platform rasmi Terengganu.
Terengganu dan KL City FC merupakan dua wakil negara dalam saingan Shopee Cup 2024/25. Kedua-dua pasukan layak selaku finalis Piala Malaysia 2023 dan Piala FA 2023.
Skuad Peteh bakal membuka kempen Kumpulan A dengan menentang juara Cambodian Premier League (CPL), Preah Khan Reach Svay Rieng pada 21 Ogos ini.