Advertisements
Gaji Jurgen Klinsmann Cecah RM10.5 Juta, Lantik 35 Staf Tetapi Masih Tersungkur
Asia
MakanBola
Korea FA

Masa depan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Korea Selatan, Jurgen Klinsmann terus menjadi bualan ramai selepas beliau gagal membawa pasukan ke pentas akhir Piala Asia AFC 2023.

Aksi menentang Jordan menyaksikan Taeguk Warriors ditunjukkan jalan keluar selepas tewas dengan keputusan 2-0.

Terdapat banyak pihak yang mempersoalkan kredibiliti pengendali kelahiran Jerman ini selepas pemilihan pemain yang kurang memberangsangkan.

Sungguhpun mencatat kemenangan ke atas Australia dan Arab Saudi pada pusingan sebelum ini, anak didik Husein Ammouta berjaya membuktikan kaliber di atas padang.

Namun begitu, pendedahan lebih mengejutkan telah dibuat oleh salah seorang wartawan terkemuka Korea Selatan, Steve Han yang memaklumkan bahawa Klinsmann telah disokong oleh 35 orang staf sejak pelantikannya.

Malah, tangga gaji pengendali berusia 59 tahun itu amat mengejutkan apabila beliau dikatakan menerima sekitar 2.2 Juta Dollar (RM10.5 Juta) setahun bagi membimbing Korea Selatan.

“Klinsmann dilaporkan dibayar $2.2 juta setahun oleh KFA. Di Piala Asia, dia disokong oleh kakitangan sokongan seramai 35 orang.”

“Itu adalah kakitangan terbesar Korea pernah berada di kejohanan. Terdapat penganalisis data dan peninjau, dipilih sendiri oleh Klinsmann. Namun begitu, tidak ada satu persembahan lengkap dari Korea,” ujar Steve Han menerusi satu ciapan di X.

Jordan mara ke pentas akhir Piala Asia dan bakal berdepan Iran atau Qatar yang menentukan nasib mereka pada satu aksi, 7 Februari 2024.