Advertisement
Gandingan Umar Eshmurodov Jadi Buruan Man City
Transfer
MakanBola
Uzbekistan FA

Bek tengah muda Uzbekistan, Abdukodir Khusanov kini diburu juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Man City.

Akhbar Daily Mirror melaporkan bek tengah berusia 20 tahun itu diintai The Citizens untuk menguatkan kembali bahagian pertahanan.

Ini selepas pertahanan City dibolosi 38 kali dalam 17 perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan termasuk EPL.

Meskipun City kembali merekodkan kemenangan, pertahanan menjadi fokus Pep Guardiola untuk membantu pasukan itu memburu trofi untuk baki musim 2024/25.

Ejen Abdukodir, Gairat Khasbiulin percaya bek tengah Lens itu sudah bersedia untuk beraksi di pentas liga bola sepak yang lebih hebat.

“Abdukodir ialah seorang pemain yang sudah menunjukkan beliau antara pemain terbaik dalam posisinya di Eropah. Beliau masih muda dan beliau menjadi kuat,” katanya.

“Beliau berhak bermain dengan kelab-kelab terbaik di Eropah. Kita memiliki hubungan baik dengan Lens dan kita berkongsi pandangan sama – kita sama-sama mahukan yang terbaik untuk beliau.

“Jika perpindahan ini berjaya dimuktamadkan, kelab bakal menerima ganjaran yang selayaknya kerana memberi kepercayaan kepada pemain muda ini.”

Sejak menyertai Lens pada 2023, Abdukodir sudah merekodkan 31 penampilan dan satu bantuan gol. Beliau turut merekodkan 18 penampilan bersama Uzbekistan.

Antara rakan gandingannya di bahagian pertahanan setiap kali beraksi untuk The White Wolves ialah bekas bek tengah Selangor FC, Umar Eshmurodov.

Abdukodir bukan satu-satunya pemain yang diburu The Citizens. Selain beliau, City dilaporkan mahu mendapatkan penyerang Syria, Omar Marmoush dan pemain tengah Atalanta, Ederson.

Meskipun begitu, The Citizens perlu bertindak pantas jika mahu memeterai perpindahan Abdukodir. Ini kerana satu lagi kelab EPL, Tottenham Hotspur turut berminat mendapatkan khidmatnya.