PJ City FC kerap menggunakan formasi 3-4-3 dalam sistem bek bertiga mereka pada musim ini. Namun apa yang menarik tentang bek bertiga mereka ialah keunikan gandingan pemain yang mempunyai pelbagai bangsa. Sempena menyambut Hari Malaysia ke-58, artikel ini membawakan satu mesej perpaduan menerusi sukan bola sepak.
Gandingan Kanadasan Prabakaran, Raffi Nagoorgani dan Jeremy Lim dibahagian pertahanan tengah telah menampilkan gandingan pemain berbangsa India, Melayu dan Cina. Ini membuktikan sukan bola sepak adalah sebuah platform yang dapat menghubungkan para pemain tanpa mengira bangsa dan agama.

P Maniam mula menggunakan gandingan Prabakaran-Raffi-Jeremy setelah Jeremy Lim berjaya mempamerkan beberapa aksi cemerlang dibahagian pertahanan. Mereka telah diturunkan dalam 3 perlawanan iaitu sewaktu PJ City menentang KL City, JDT dan Selangor FC. Manakala sewaktu bertemu UiTM FC, P Maniam menggandingkan M. Youwarasan, Raffi dan Jeremy Lim.
Mungkin ramai beranggapan gandingan ini biasa-biasa sahaja malah tidak menjamin pasukan daripada tidak dibolosi sekiranya menggandingkan pemain yang berbeza bangsa. Namun perkara ini adalah satu mesej yang bermakna lebih-lebih lagi buat masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia mempunyai perhubungan yang erat dan kukuh melangkaui sempadan bangsa.
Menggandingkan 3 pemain berbeza bangsa di bahagian pertahanan tengah memerlukan para pemain sentiasa berkomunikasi dan saling memahami antara satu sama lain dalam membentuk keserasian antara pemain. Ini bukan kerja yang mudah malah memerlukan semangat kerjasama yang tinggi dikalangan pemain tersebut.

Perpaduan yang dapat dilihat menerusi gandingan tersebut penting bagi menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara harmoni. Perkara ini dapat menutup suara-suara sumbang atau tidak bertanggungjawab daripada mana-mana pihak yang cuba melaga-lagakan masyarakat Malaysia dengan menunggang isu kaum.
Gandingan pertahanan 3 serangkai ini pastinya ditagih dalam saingan Piala Malaysia kelak malah tanpa disedari gandingan ini sebenarnya telah menyuntik semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Sempena menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini, perkara ini seharusnya dapat dijadikan contoh bagi membuktikan sukan bola sepak dapat menyatukan rakyat malah membuktikan masyarakat Malaysia mempunyai perpaduan yang kukuh dan harmoni tanpa mengira bangsa dan kaum.