Ganjaran mencecah RM3.8 Juta menanti pasukan gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bersaing dalam kancah tertinggi di Asia.
Skuad kendalian Hector Bidoglio bakal menghangatkan saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini sebagai wakil tunggal dari Malaysia.
Persiapan rapi telah pun dilakukan terutamanya apabila membawa masuk beberapa mula baharu untuk memantapkan pasukan.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan khabar lebih baik apabila meningkatkan ganjaran kepada pasukan yang layak pada edisi kali ini.
AFC memberi jaminan bahawa 24 kelab yang bertanding dalam kejohanan akan memperoleh wang ganjaran tersebut sungguhpun hanya pada peringkat kumpulan sahaja.
Skuad Harimau Selatan akan memperoleh wang tambahan mencecah 200,000 USD (RM942,000) sekiranya berjaya mengesahkan kemaraan pada pusingan 16 terbaik pada edisi kali ini.
Bukan itu sahaja, kelab yang berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir dan separuh akhir akan mendapat tambahan wang tunai masing-masing sebanyak RM1.88 juta dan RM2.82 Juta.
Naib juara dan juara ACLE akan membawa pulang tambahan 4,000,000 USD (RM18.83 juta) dan 10,000,000 USD (RM47.08 juta) masing-masing sekaligus mencatatkan peningkatan wang berbanding edisi sebelumnya.
Majlis undian bagi peringkat liga bakal berlangsung pada 16 Ogos 2024 namun mekanisme undian akan diumumkan dalam masa yang terdekat.
Pusingan kelayakan akan dilangsungkan pada 6 dan 13 Ogos manakala pusingan liga yang melibatkan lapan perlawanan pula dijadualkan dari 16-18 September 2024 hingga 17-19 Februari 2025.
Aksi pusingan 16 pula akan diadakan secara timbal balik pada 3-5 Mac 2025 dan 10-12 Mac 2025 manakala bagi aksi suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir akan berlangsung secara berpusat di Arab Saudi.
Aksi itu dijangka akan dianjurkan bermula dari 25 April 2025 hingga 4 Mei 2025.
Antara lawan berpotensi JDT di Asia kali ini termasuklah Vissel Kobe (Jepun), Kawasaki Frontale (Jepun), Yokohama F. Marinos (Jepun), Ulsan HD (Korea), Pohang Steelers (Korea), Gwangju (Korea), Shanghai Port (China), Shanghai Shenhua (China), Buriram United (Thailand) dan Central Coast Mariners (Australia).
Dua pasukan bakal mengharungi pusingan kelayakan iaitu Shandon Taishan (China) dan juga Bangkok United (Thailand).