Kemenangan besar 5-1 Man City ke atas Fulham dicemari dengan kontroversi gara-gara keputusan pembantu pengadil video (VAR) mengiktiraf gol kedua The Citizens.
City mendahului pada minit ke-31 menerusi Julian Alvarez. Bagaimanapun, kelebihan tuan rumah tidak bertahan lama apabila kapten Tim Ream menyamakan kedudukan untuk Fulham dua minit selepas itu.
Sebelum rehat, The Citizens kembali mendahului menerusi Nathan Ake. Begitupun, pemain dan staf Fulham mendakwa gol tersebut sepatutnya tidak dikira gara-gara Manuel Akanji berada pada posisi ofsaid.
Bagaimanapun, selepas gol tersebut diperiksa oleh VAR, gol tersebut tetap dikira. Ini mencetuskan kemarahan pengurus Cottagers, Marco Silva dengan pemain-pemain Fulham sudah berkira-kira untuk tidak meneruskan permainan.
Selepas ditenangkan oleh pengadil Michael Oliver, permainan kembali disambung dengan keputusan 2-1 semasa rehat. City kemudiannya menambah tiga lagi gol menerusi hatrik Erling Haaland pada minit ke-58, penalti pada minit ke-70 dan minit akhir perlawanan.
Yang pasti, keputusan VAR ini bukan saja menimbulkan kemarahan penyokong bola sepak tetapi juga bekas pengadil EPL, Mike Dean.
Beliau percaya Akanji bukan saja berada dalam kedudukan ofsaid semasa Ake menjaringkan gol. Malah, Dean melihat posisinya itu dianggap menghalang penglihatan penjaga gol Cottagers, Bernd Leno.
“Beliau (Akanji) melompat untuk mendapatkan bola, itu saja sudah cukup. Itu pastinya akan mengganggu penjaga gol. Pada hemat saya, beliau sudah setengah kaki ofsaid.
“Beliau sudah melompat mendapatkan bola jadi beliau sudah tidak boleh mengganggu penjaga gol,” katanya semasa menjadi panel Soccer Saturday di Sky Sports.
Pandangan Dean turut dipersetujui bekas pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Michael Dawson. Disebabkan keputusan kontroversi yang dibuat VAR, beliau memahami mengapa Silva marah dengan mutu keputusan VAR hari ini.
“Pada pandangan saya, itu memang ofsaid. Marco Silva memang berhak untuk merasa marah,” tambahnya semasa menjadi panel dalam program sama.
Kemenangan kontroversi ini membolehkan City terus bertakhta di takhta liga dengan 12 mata daripada empat perlawanan. Sementara Fulham pula berada di tangga ke-13 liga dengan empat mata.