Manchester City meraih kemenangan besar walaupun tanpa kehadiran Pep Guardiola apabila mudah menewaskan Fulham 5-1 di Stadium Etihad.
Julian Alvarez membuka jaringan pertama perlawanan setelah menerima hantaran daripada Erling Haaland pada minit ke-31 perlawanan.
Tersentak dengan gol tersebut, Fulham pantas menyerang balas dan berjaya meraih sepakan sudut. Tim Ream kemudian menyamakan kedudukan menerusi bola muntah Ederson pada minit ke-33 perlawanan.
Gol kedua City pula dijaringkan oleh Nathan Ake pada masa tambahan separuh masa pertama. Gol kontroversi ini disahkan pengadil setelah VAR mengesahkan Manuel Akanji yang berada dalam kedudukan offside tidak menghalang pandangan penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
Memasuki babak kedua, Erling Haaland menambah gol ketiga City pada minit ke-58 perlawanan setelah menerima hantaran daripada Alvarez.
Haaland sekali lagi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-70 perlawanan apabila Diop menjatuhkan Alvarez didalam kawasan kotak penalti.
Haaland melengkapkan hatrik apabila menjaringkan gol ketiga peribadi pada minit ke-95 perlawanan setelah menerima hantaran daripada Sergio Gomez.
Manchester City mendominasi penguasaan bola dalam perlawanan ini dengan 68% namun Fulham juga kerap mendapatkan beberapa percubaan ke arah gawang gol City dengan melakukan 6 percubaan.
City yang masih beraksi tanpa kelibat Pep Guardiola berjaya meraih 3 mata berharga dan masih mengekalkan rekod 4 kemenangan berturut-turut dalam liga.
Guardiola masih lagi dalam tempoh pemulihan setelah menjalani pembedahan bahagian belakang dan akan pulih sepenuhnya untuk aksi bertemu West Ham kelak.