Pengendali Chinese Taipei, Gary White melihat skuad kali ini mampu memberi saingan kepada pasukan dari Asia Barat, Oman dalam aksi kelima Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026.
Sebelum ini, pengendali England itu terpaksa memanggil ramai pemain muda untuk membarisi Chinese Taipei untuk dua aksi kelayakan menentang Kyrgyzstan pada Mac lalu.
Keadaan ini menyebabkan The Blue Wings tewas dua kali kepada The White Falcons sekaligus menutup peluang mereka untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Meskipun peluang mereka untuk layak sudah tertutup, White melihat skuad yang dipilih kali ini mampu memberi tentangan kepada Oman dalam perlawanan esok.
“Ya, skuad yang kita ada kali ini berbeza daripada yang menentang Kyrgyzstan. Tidak terlalu muda, di mana sebelumnya itu berlaku di luar kawalan kita.
“Jadi, pasukan ini lebih mirip kepada pasukan (biasa) kita dari segi (kualiti) pemain,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan yang berlangsung pada hari ini.
Skuad Chinese Taipei kali ini turut menampilkan dua pemain warisan iaitu Jason Hsu dan Derrek Chan. Hsu mewakili pasukan bola sepak University of Davis (UC Davis), California.
Sementara Chan pula memiliki pengalaman beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS). Berdasarkan semakan di Transfermarkt, beliau kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan Real Monarch.
Chinese Taipei bakal turun menentang Oman dalam aksi kelayakan seterusnya di Stadium Perbandaran Taipei esok.