Lebih banyak kemudahan dinikmati penyokong Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) bila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Ini selepas pengurusan Harimau Selatan mengumumkan pembukaan gelanggang hoki ais untuk kegunaan orang ramai bermula pada 6 Ogos.
“Tarikan tambahan untuk para pengunjung Stadium Sultan Ibrahim milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila JDT X-Skate, Ice Ring & Ice Hockey kini dibuka untuk orang ramai,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Gelanggang tersebut dibuka pada orang ramai dari jam 12.00 tengah hari hingga 9.00 malam dari Isnin hingga Khamis dan 11.00 pagi hingga 9.00 malam (Jumaat-Ahad).
Bagi penyokong yang mahu memanfaatkan gelanggang hoki ais pada hari perlawanan, waktu operasi gelanggang dibuka dari jam 11.00 pagi hingga 11.00 malam.
Kemudahan gelanggang hoki ais merupakan penambahan terbaru kemudahan yang wujud di SSI. Antara kemudahan yang wujud ialah surau, tandas, JDT Direct Megastore, restoran dan premis perniagaan.
Sebaik saja kemudahan terbaru SSI ini diketahui penyokong, ramai orang menyambut baik usaha tersebut. Ini kerana ini bukan saja membantu JDT mempelbagaikan pendapatan kelab terutama pada hari perlawanan.
Malah, ini secara tidak langsung menggalakkan penyokong terutama yang berkeluarga untuk beriadah dan mencuba aktiviti sukan baru di SSI.
Kewujudan gelanggang hoki ais ini dijangka menambah kemeriahan aksi Liga Super antara JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berlangsung pada 9 Ogos ini.