Arena bola sepak Asia dikejutkan dengan berita pengendali pasukan Jordan, Hussein Ammouta telah meletak jawatan.
Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Jordan menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka baru-baru ini.
Jurulatih Maghribi berusia 54 tahun itu dilaporkan berbuat demikian kerana sebab peribadi yang tidak didedahkan. Situasi ini mendorong kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.
“Persatuan (Bola Sepak Jordan (JFA)) menghargai keadaan istimewa yang menghalang jurulatih (Hussein Ammouta) daripada terus memimpin pasukan dan atas sebab itu, lembaga pengarah persatuan telah meluluskan permintaan jurulatih untuk menamatkan kontraknya dan pembantunya dengan persetujuan bersama.
“JFA mengesahkan bahawa pencapaian yang dicapai di bawah kepimpinan Ammouta untuk pasukan kebangsaan Jordan akan sentiasa dikenang dan terima kasih kepada jurulatih daripada keluarga bola sepak Jordan dan peminat Jordan,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
Nama Ammouta menjadi sebutan peminat bola sepak Asia apabila membimbing Jordan bergelar naib juara Piala Asia 2023.
Pencapaian itu kemudiannya diteruskan beliau dengan membawa Jordan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. Lebih manis, Jordan layak selaku juara Kumpulan G selepas mengatasi cabaran negara serantau, Arab Saudi.
Susulan itu, JFA telah membawa masuk seorang lagi jurulatih Maghribi, Jamal Sellami sebagai pengganti Ammouta.
Sellami diberi amanah untuk mengetuai cabaran Jordan untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijangka berlangsung pada September ini.
Penentuan kumpulan untuk pusingan ketiga kelayakan bakal dibuat di Kuala Lumpur pada 27 Jun ini.