Giliran Omid Musawi Tinggalkan Selangor
MakanBola
Selangor FC

Pemain sayap Afghanistan, Omid Musawi menjadi pemain terbaru mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor FC.

Hal ini dizahirkan pemain sayap berusia 25 tahun itu menerusi satu kenyataan di Instagram. Bekas pemain remaja FC Twente itu turut menzahirkan penghargaan sepanjang tempoh bersama The Red Giants.

“Terima kasih Selangor untuk dua tahun yang menakjubkan, Dari pasukan kedua hingga pasukan pertama, saya berterima kasih kepada Selangor FC kerana memberi kepercayaan kepada saya dan memberi saya peluang untuk maju sebagai pemain. Saya mengharapkan lebih banyak peluang tetapi itulah lumrah bola sepak.

“Mewakili kelab dalam Shopee Cup, ACL2 (Liga Juara-Juara AFC 2) dan Liga Super merupakan pengalaman yang saya sentiasa akan hargai. Setiap perjalanan datang dengan pengajaran, dan saya pergi dengan kenangan indah dan pengalaman berharga.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang perjalanan. Saya ucapkan selamat berjaya kepada kelab pada masa akan datang,” katanya.

Musim 2025/26 menyaksikan Omid beraksi sebanyak 12 kali buat Selangor dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup dan ACL2. Beliau kemudiannya menyertai Penang FC secara pinjaman sehingga akhir musim.

Sepanjang berada di Pulau Mutiara, Omid merekodkan 10 penampilan. Ini menjadikan beliau sebahagian daripada tujuh pemain yang sah meninggalkan The Red Giants.

Daripada tujuh pemain tersebut, empat daripadanya ialah pemain import. Selain Omid, Mohammad Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh turut meninggalkan pasukan.

Pemain sayap Korea Selatan, Kim Ji-ho pula kembali ke kelab asalnya, Suwon Samsung Bluewings selepas tamat tempoh pinjaman bersama Selangor.