Ketua jurulatih Australia, Graham Arnold mengakui sudah menjangkakan corak permainan skuad Indonesia disebalik tentangan hebat yang diterima Australia dalam aksi pusingan 16 Piala Asia 2023.
“Kredit buat pasukan Indonesia, mereka beri aksi sukar kepada kami. Mereka mempunyai fizikal yang besar dan kuat jadi ia amat sukar namun kualiti penyudah kami berfungsi setelah kami menerapkan sesi latihan menyerang.” ujar Arnold.
“Para pemain semakin yakin dalam kejohanan ini. Kami telah menjangkakan Indonesia akan bermain secara fizikal dan pemain Australia juga sudah bersedia sebaiknya.”
“Kami boleh lakukan lebih baik dalam setiap aspek. Kami akan melihat balik apa yang boleh kami perbaiki kerana kami sentiasa menginginkan sesuatu yang positif.” tambahnya lagi.
Australia berjaya menewaskan Indonesia dengan jaringan 4-0 untuk melangkah ke suku akhir Piala Asia 2023.
Jaringan sendiri Elkan Balggott pada minit ke-12 menambahkan semangat Australia untuk memenangi aksi penting ini. Dua jaringan pada penghujung perlawanan berjaya menoktahkan kemenangan bergaya Australia terhadap Sang Garuda.
Dalam kejohanan Piala Asia 2019 sebelum ini pasukan Australia kecundang di peringkat suku akhir apabila tewas tipis 1-0 kepada UAE.
Skuad kendalian Graham Arnold pastinya ingin mengulangi kembali kejayaan pasukan Socceroos yang menjulang Piala Asia pada tahun 2015 setelah menewaskan Korea Selatan dalam perlawanan akhir tersebut.