Australia menamatkan perjuangan hebat Indonesia di Stadium Jassim bin Hamad untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Asia 2023.
Skuad kendalian Graham Arnold menurunkan barisan pemain terbaik seperti Mathew Ryan, Harry Souttar, Jackson Irvine dan Martin Boyle manakala pasukan Garuda mengekalkan muka-muka penting seperti Jordi Amat, Sandy Walsh, Elkan Balggott dan Asnawi Mangkualam.
Indonesia menerima ujian awal apabila Elkan Balggott tertampan bola rembatan Jackson Irvine sekali gus memberikan gol pertama buat Socceroos pada minit ke-12 permainan.
Pasukan Australia mendominasi pegangan bola pada babak pertama berbanding Indonesia namun mereka bergelut untuk melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan. Indonesia yang tampil bertahan berjaya melakukan beberapa kali siri serangan balas tetapi tiada gol yang dapat dijelmakan.
Dihujung babak pertama, Martin Boyle berjaya memberikan gol kedua Australia setelah menanduk masuk bola hantaran lintang daripada Gethin Jones.
Memasuki babak kedua, Australia memperkemaskan pegangan bola untuk menyukarkan perancangan Indonesia.
Beberapa percubaan digerakkan oleh Australia namun pertahanan Indonesia berjaya menyekat hasrat Socceroos.
Jaringan ketiga Australia tiba pada minit ke-89 apabila Craig Goodwin merembat bola muntah penjaga gol Indonesia, Ernando Ari.
Skuad Shin Tae-yong yang tersentak dengan jaringan tersebut sekali lagi terleka dan membenarkan pertahanan tinggi lampai, Harry Souttar menjaringkan gol keempat pasukan.
Tamat perlawanan, Australia gah membenam cabaran Indonesia dengan jaringan 4-0 sekali gus menamatkan perjuangan Indonesia di Piala Asia 2023.