Bekas pertahanan Shelbourne, Sam Bone mencetuskan tanda tanya mengenai keberadaannya di Malaysia selepas memuat naik satu foto yang dipercayai menunjukkan dirinya berada di Pulau Pinang.
Menerusi perkongsian di Instagram Story sekitar malam Khamis, 12 November 2026, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu memaparkan suasana sebuah premis makanan yang dikenal pasti sebagai Red Garden Food Paradise di George Town.
Lokasi berkenaan merupakan antara kawasan tumpuan pengunjung di Pulau Pinang, sekali gus menjadi petunjuk bahawa Sam mungkin sudah berada di Malaysia.
Perkembangan itu hadir selepas Sam Bone sebelum ini pernah menyuarakan perancangannya untuk mengunjungi Singapura dan Malaysia pada November menerusi satu perkongsian di Instagram pada Oktober lalu.
Malah, MakanBola sebelum ini melaporkan hasrat pemain berusia 28 tahun itu untuk mengunjungi kedua-dua negara berkenaan, termasuk mendapatkan jersi Geylang International yang mempunyai kaitan dengan bapanya, Billy Bone.
Dalam perkembangan berkaitan, Sam turut pernah menyuarakan minat untuk mewakili Harimau Malaya di pentas antarabangsa berdasarkan latar belakang kelahirannya di Malaysia.
Beliau sebelum ini menghabiskan sebahagian besar karier bola sepaknya di Ireland dan England dengan pernah menyarung jersi beberapa kelab seperti Shamrock Rovers, St Patrick’s Athletic, Dundalk, Maidstone United dan Shelbourne.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Sam mengenai tujuan kunjungannya ke Malaysia mahupun sebarang perkembangan berkaitan hasratnya untuk mewakili Harimau Malaya.


