Eropah

Harry Montague Cetak Gol Kalahkan Juventus B-23

Harry Montague West Ham Juventus 1 Harry Montague Cetak Gol Kalahkan Juventus B-23
Youtube: @Juventus
Advertisements

Pemain warisan Malaysia, Harry Montague membantu West Ham United B-21 mencatat kemenangan 3-1 ke atas Juventus dalam aksi ketiga saingan Premier League International Cup 2026/27 pada Rabu, 11 November 2026.

Pertahanan berusia 17 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih, Mark Robson untuk mengharungi pertembungan yang berlangsung di Chigwell Construction Stadium, London.

Harry Montague membuktikan kepercayaan yang diberikan apabila membuka tirai jaringan buat West Ham pada minit ke-29 menerusi penyudah dari jarak dekat selepas menerima hantaran Preston Fearon daripada situasi sepakan percuma.

Jaringan tersebut memberikan kelebihan awal buat skuad muda The Hammers sebelum Juventus bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi rembatan Marco Tiozzo Pagio dari luar kotak penalti.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 ketika menuju ke bilik persalinan sebelum West Ham kembali mendahului perlawanan menerusi jaringan Tyrone Omotoye pada minit ke-55.

West Ham terus memberikan tekanan kepada pasukan pelawat sebelum Jephthah Medine melengkapkan kemenangan 3-1 menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Untuk rekod, Montague dilahirkan di London pada 9 Februari 2009 dan mempunyai pertalian darah Malaysia menerusi ibunya yang merupakan warganegara Malaysia.

Ibunya dilaporkan berasal dari Sandakan, Sabah, sekali gus membolehkan pertahanan muda itu memiliki hubungan kekeluargaan dengan negara ini.

Pada Oktober lalu, Montague turut mencatat satu lagi perkembangan penting dalam kariernya apabila menandatangani kontrak profesional pertama bersama West Ham United selepas melalui sistem pembangunan akademi kelab tersebut.