Eropah

Tonggak Kental JDT Terima Panggilan Equatorial Guinea

Web 20261109 232406 0000 Tonggak Kental JDT Terima Panggilan Equatorial Guinea
JOHOR Southern Tigers
Advertisements

Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Carlos Akapo, yang juga kapten Equatorial Guinea, bakal mengetuai cabaran negaranya dalam dua pertemuan menentang Zimbabwe bagi meneruskan perjuangan dalam kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027.

Kem Equatorial Guinea turut diisi beberapa pemain berpengalaman yang beraksi di pentas bola sepak antarabangsa, antaranya penyerang Emilio Nsue yang juga pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu, selain pertahanan Saúl Coco yang kini bersama kelab Itali, Torino FC.

Pemain berusia 33 tahun itu dijangka memperkukuh benteng pertahanan Nzalang Nacional berdasarkan pengalaman luas yang dimilikinya di peringkat kelab dan antarabangsa.

Akapo, yang kini bersama Harimau Selatan, menyertai JDT pada 7 Ogos 2026 selepas meninggalkan kelab Brazil, Amazonas FC. Sebelum itu, beliau turut berpengalaman beraksi dalam Major League Soccer (MLS) bersama San Jose Earthquakes serta beberapa kelab di Sepanyol.

Dilahirkan di Elche, Sepanyol pada 12 Mac 1993, Akapo memiliki latar belakang Sepanyol-Equatorial Guinea dan memilih untuk mewakili negara asal bapanya di peringkat antarabangsa.

Beliau membuat penampilan sulung bersama Equatorial Guinea pada 5 Jun 2013 dalam aksi persahabatan menentang Togo dan sejak itu mengumpul 48 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Akapo turut menjadi sebahagian daripada skuad Equatorial Guinea yang beraksi dalam AFCON 2021 di Cameroon pada 2022. Dalam kejohanan tersebut, Nzalang Nacional mencipta kejutan apabila mara sehingga ke suku akhir sebelum tewas kepada Senegal, yang akhirnya muncul juara.

Equatorial Guinea yang dikenali dengan gelaran Nzalang Nacional atau ‘National Thunder’ kini bersaing dalam Kumpulan E bagi kelayakan AFCON 2027.

Skuad kendalian Vincenzo Alberto Annese itu sebelum ini tewas 0-2 kepada Republik Demokratik Congo pada 24 September sebelum bangkit menewaskan Sierra Leone 1-0 pada 28 September lalu.

Dua perlawanan menentang Zimbabwe pada 12 dan 16 November ini bakal menjadi ujian seterusnya buat Equatorial Guinea dalam usaha memperbaiki kedudukan kumpulan. Pertemuan pertama dijadual berlangsung di Bata sebelum aksi timbal balik berlangsung di Harare, Zimbabwe.