Penyerang Melaka FC, Kpah Sherman bakal memikul tugas sukar apabila menyertai skuad kebangsaan Liberia untuk dua aksi antarabangsa pada November.
Ini kerana Liberia bakal berdepan pasukan yang pernah beraksi di Piala Dunia 2026, Cape Verde sebanyak dua kali pada 14 dan 18 November ini.
Meskipun berstatus pendatang baharu dalam kejohanan itu, Cape Verde berjaya mara sehingga pusingan 32 pasukan terbaik.
Sherman antara penyerang yang dipanggil jurulatih Belgium, Mohammed Adil Erradi untuk dua aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027 itu.
Perkara ini turut disahkan pengurusan Melaka dalam satu kenyataan. Selain Sherman, rakan sepasukan, Hein Htet Aung pula menerima panggilan skuad kebangsaan Myanmar.
“Kpah Sherman dan Hein Htet Aung dipanggil menyertai skuad kebangsaan! Detik membanggakan buat Melaka FC!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sherman bakal bersaing dengan Franklin Nyenyetu, Ralph Weah, Prince Martor Jr, Edward Ledlum, Ayouba Kosiah, Sylvanus Nimely dan William Gibson di bahagian serangan.
Sekiranya penyerang berusia 34 tahun itu beraksi, beliau berpeluang menambah koleksi 21 penampilan dan dua gol di peringkat antarabangsa.


