FAM Perlu Bayar Denda RM7,000 Kepada AFC
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membayar denda lebih RM7,000 kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Badan induk bola sepak Asia itu menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati skuad Malaysia Bawah 20 Tahun (B-20) lewat memasuki padang untuk aksi Kelayakan Piala Asia B-20 menentang Laos.

Anak buah Shukor Adan didapati lewat kembali ke padang untuk separuh masa kedua sebanyak satu minit dan 24 saat (s). Ini kali keempat FAM dikenakan hukuman atas kesalahan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC mengenakan denda sebanyak AS$1,750 (RM7,150) kepada FAM.

FAM bukan satu-satunya badan bola sepak ASEAN yang dikenakan hukuman oleh AFC. Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) didenda AS$8,750 atas kesalahan penyokong membaling suar dan mengawal keselamatan di stadium.

Kesalahan itu dibuat dalam aksi Kelayakan Piala Asia B-20 antara Thailand dan Iraq pada 6 September lalu.

Mesyuarat jawatankuasa sama turut menyaksikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Eddy Israfilov dikenakan penggantungan dua perlawanan. Israfilov dihukum selepas mengutip kad merah dalam aksi JDT menentang Buriram United pada September lalu.