Harry Montague & Brad Tapp Milik Malaysia?
MakanBola
Instagram:@harry.m.17/JST

Malaysia dilaporkan sudah melengkapkan proses dokumentasi dua pemain warisan baharu daripada England, Harry Montague dan Australia iaitu Brad Tapp bagi memperkuat Harimau Malaya.

Perkhabaran ini dimaklumkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang melaporkan bahawa proses pendokumentasian Harry Montague serta Brad Tapp telah selesai, sekali gus membuka peluang untuk mewakili Malaysia.

“Difahamkan, pemain muda West Ham United, Harry Montague yang mempunyai pertalian darah Malaysia telah melengkapkan proses dokumentasi bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia, termasuk pemain kelahiran Australia, Brad Tapp,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X.

Nama Harry Montague sebelum ini menjadi bualan ramai peminat setelah tular sekeping foto beliau bersama koordinator pasukan Harimau Malaya, Zulfadli Rozi dipercayai di sebuah lapangan terbang tanah air pada bulan Jun yang lalu.

Foto tersebut menguatkan lagi ura-ura yang mengatakan pertahanan muda West Ham United itu tiba ke Malaysia bagi urusan menyerahkan dokumen yang sudah pun memasuki fasa seterusnya untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Sementara Brad Tapp pula mula menjadi perhatian sejak menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Julai lalu dan dikaitkan sebagai pemain warisan baharu Malaysia menerusi petanda yang ditinggalkan oleh Zulhelmi Zainal Azam.

Setakat ini, masih belum ada pengesahan rasmi dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan perkara ini tatkala persiapan rapi perlu dibuat oleh kem Harimau Malaya menjelang kejohanan FIFA ASEAN Cup pada September