Pemain West Ham, Harry Montague Dalam Proses Wakili Malaysia
MakanBola
Instagram: Harry Montague/Joe Rozi

Malaysia dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat tonggak berdarah England, Harry Montague yang kini beraksi buat West Ham B-18.

Nama Harry Montague mula menjadi perhatian ramai peminat bola sepak tempatan selepas West Ham United mengemas kini status bintang berusia 17 tahun itu yang berkelayakan untuk menyarung jersi Malaysia dan juga England.

West Ham United mengesahkan bahawa Harry Montague miliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibu beliau yang merupakan warganegara meskipun pemain berusia 17 tahun itu dilahirkan di London, England pada tahun 2009.

Malah, tular sekeping foto Harry Montague bersama koordinator pasukan Harimau Malaya, Zulfadli Rozi di media sosial pada Selasa dipercayai di sebuah lapangan terbang yang menguatkan ura-ura beliau bersedia untuk mewakili Malaysia.

Perkembangan terkini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan bahawa proses pendokumentasian Harry Montague kini sedang berjalan lancar selepas pemain tersebut berada di Malaysia bulan lalu.

“Proses sedang berjalan. Harry Montague yang mempunyai pertalian darah Malaysia telah datang ke negara ini bersama bapanya bulan lalu bagi urusan penyerahan dokumen,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X beserta foto yang tular itu.

“Difahamkan, proses tersebut berjalan dengan lancar dan kini sedang berada di peringkat seterusnya,” tulis beliau lagi.

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi dan maklumat tepat dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan perjalanan proses terkini pendokumentasian Harry Montague yang membolehkan beliau menyarung jersi Harimau Malaya.

Andai benar Harry Montague akan mewakili Malaysia tidak lama lagi, ini bakal menjadi menjadi suatu tambah nilai baharu buat pasukan muda dan senior negara khususnya untuk memperkuat jentera pertahanan dan tengah.

Untuk rekod, Harry Montague memiliki berkebolehan untuk beraksi di pelbagai posisi seperti perancang tengah, pertahanan kanan dan tengah, sesuai dengan ketinggian beliau yang mencecah 1.85m.