Advertisements
Indonesia Cipta Sejarah Layak Ke Pusingan 16 Terbaik Piala Asia
Asia
MakanBola
PSSI

Skuad Indonesia berjaya melakar sejarah baharu apabila melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik AFC Asian Cup.

Perkara ini disahkan menerusi satu hantaran di akaun rasmi AFC Asian Cup yang memaparkan poster Indonesia sebagai salah satu negara yang berhasil melepasi peringkat kumpulan dan melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

“Indonesia meloloskan diri melepasi ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama!”, tulis AFC Asian Cup di laman X.

Skuad bimbingan Shin Tae-yong ini berjaya melepasi peringkat kumpulan setelah menjadi antara 4 negara yang menduduki tempat ketiga terbaik bersama-sama Syria, Palestin dan Jordan.

Indonesia yang mengakhiri saingan kumpulan D di tangga ketiga kumpulan cemerlang mengumpul 3 mata hasil 1 kemenangan ke atas Vietnam dan 2 kekalahan kepada Iraq dan Jepun.

Skuad Garuda memulakan aksi kumpulan dengan langkah kiri apabila kecundang 1-3 di tangan Iraq pada aksi pembukaan dengan Marselino Ferdinan menjaringkan gol tunggal buat Indonesia.

Kemudian, Indonesia bangkit mencipta kejutan menewaskan Vietnam di ranking ke-94 dunia dengan keputusan 1-0 hasil sepakan penalti kapten, Asnawi Mangkualam sebelum akur tumbang 1-3 kepada Jepun dalam aksi terakhir kumpulan.

Pada aksi pusingan 16 terbaik, Indonesia dijadualkan berdepan Juara Piala Asia 2015, Australia yang juga juara kumpulan B pada 28 Januari di Stadium Jassim bin Hamad.