Bekas kapten Arsenal, Granit Xhaka menyifatkan perpindahannya ke Bayer Leverkusen sebagai dua langkah ke hadapan.
Selepas kekal di Stadium Emirates selama tujuh musim, pemain Switzerland itu berhijrah ke Bay Arena dengan yuran perpindahan €20 juta (RM99 juta) pada musim 2023/24.
Xhaka membantu pasukan Bundesliga itu bukan saja muncul Bundesliga dan DFB-Pokal pada musim lepas. Malah, beliau membantu pasukan yang dibimbing Xabi Alonso itu kekal tanpa kalah sepanjang musim 2023/24.
Atas sebab itu, Xhaka melihat perpindahannya ke Bay Arena sebagai satu langkah yang tepat lebih-lebih lagi dengan dua trofi yang diraihnya pada musim lepas.
“”Bagi saya, ia bukan satu langkah ke belakang, tetapi dua langkah ke hadapan. Kerana saya mempunyai perasaan yang tepat semasa mengadakan perbincangan dengan jurulatih (Xabi Alonso) dan dengan Simon Rolfes, sesuatu yang istimewa boleh berlaku di sini dalam beberapa tahun akan datang,” katanya kepada akhbar Bild.
Komen pedas Xhaka ini menimbulkan kemarahan penyokong Arsenal kerana seolah-olah memperlekeh kegagalan pasukan itu meraih sebarang trofi pada musim 2023/24.
Xhaka juga turut melaungkan amaran kepada pencabar Leverkusen, Bayern Munich. Pemain berusia 31 tahun itu percaya pasukannya berupaya untuk terus mencabar kejuaraan liga untuk tahun-tahun seterusnya.
“”Kami mahukan lebih banyak (trofi) lagi. Bukan sahaja tahun ini tetapi sudah tentu kami mahu berada di puncak untuk tahun-tahun mendatang,” tambahnya.
Komen Xhaka dijangka menghangatkan lagi aksi persahabatan antara Arsenal dan Leverkusen yang akan berlangsung pada 7 Ogos ini.