Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah semakin hampir menggondol kejuaraan keseluruhan Asia Road Racing Championship (ARRC) untuk kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000).
Kemungkinan itu semakin hampir jadi nyata selepas Hafizh mengungguli perlumbaan pertama ASB1000 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Hafizh sedar beliau ada dua senario berpotensi bagi membolehkannya bergelar juara. Beliau mampu bergelar juara dalam perlumbaan pertama sekiranya memiliki jurang 75 mata dengan pencabar terdekat dari Jepun, Keito Abe.
Hafizh juga mampu merangkul kejuaraan ARRC dalam perlumbaan kedua dengan syarat jurang matanya dengan Abe ialah 50 mata. Justeru, pelumba Malaysia itu sedar kemenangan dilihat cukup untuk terus menjarakkan diri dengan jaguh Jepun itu.
Hafizh bermula di tempat keempat dengan pelumba Jepun, Kaito Toba meraih petak utama. Abe yang mewakili Honda SDG Harc-Pro Philippines dan Zaqhwan Zaidi masing-masing bermula di tempat kedua dan ketiga.
Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh tampil garang dengan memintas Abe, Toba dan Zaqhwan sambil diekori Azroy Hakeem Anuar. Hal ini membolehkan beliau merampas tampuk pendahulu perlumbaan.
Abe kemudiannya cuba memintas Hafizh selepas menyedari jarak antara dirinya dan jaguh negara itu cukup dekat. Hal ini membuka ruang kepada Zaqhwan memintas kedua-dua pelumba.
Hafizh kemudiannya memintas semula Abe dan pelumba Honda Racing Malaysia itu untuk kembali memimpin perlumbaan. Toba cuba mengejar beliau selepas berjaya memintas kedua-dua pelumba itu menggunakan jentera BMW.
Walau bagaimanapun, hajat jaguh Jepun itu untuk mengejar Hafizh musnah apabila jenteranya mengalami masalah beberapa pusingan sebelum perlumbaan tamat. Ini membuka ruang buat jaguh Malaysia itu mengungguli perlumbaan pertama ASB1000 di Sepang.
Zaqhwan dan Abe masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga. Keputusan ini menyaksikan Hafizh meraih 225 mata, 53 mata di hadapan jaguh Jepun itu.
Kemenangan ini menyaksikan JDT Racing Team muncul juara keseluruhan untuk kategori berpasukan ASB1000. Ini kejayaan kali pertama pasukan itu bergelar juara sejak menyertai ARRC.
Hafizh berpeluang meraikan kejayaan bergelar juara ASB1000 buat kali kedua berturut-turut dengan meraih kemenangan atau podium dalam perlumbaan kedua pada 6 September ini.