Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah membuka kempen Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 dengan langkah kanan.
Ini selepas bekas jaguh MotoGP meraih kedudukan ketiga dalam perlumbaan pertama kategori Asia Superbike 1000 (ASB1000) di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.
Musim 2025 menyaksikan Hafizh ingin tampil lebih cemerlang selepas menamatkan musim sebelumnya di tangga ketiga.
Ini dibuktikan apabila beliau meraih tempat ketiga dalam pusingan kelayakan dengan catatan masa 1 minit 35.378 saat (s). Hafizh berada di belakang rakan senegara, Zaqhwan Zaidi dan pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat.
Dua perlumbaan ARRC iaitu SuperSport 600 (SS600) dan ASB1000 terpaksa ditangguhkan seketika susulan hujan lebat. Ini menyebabkan perlumbaan ASB1000 bermula lewat.
Hal ini tidak menjejaskan rentak semua pelumba sebaik perlumbaan bermula. Nakarin berjaya memintas Zaqhwan untuk mendahului perlumbaan sambil diekori Hafizh.
Kelebihan pelumba Thailand itu tidak bertahan lama apabila Zaqhwan kembali merampas tempat pertama. Hafizh pula mula dicabar juara SS600 musim 2024, Apiwath Wongthanon untuk kedudukan ketiga.
Apiwath berjaya memintas pelumba berusia 30 tahun itu sebelum mula menjarakkan diri. Hafizh berusaha merapatkan jurang sebelum berjaya memintas pelumba A1 ENERGY BMW Racing Team itu.
Nakarin kembali memintas Zaqhwan dan mempertahankan kedudukannya sehingga ke garisan penamat. Hafizh meraih kedudukan ketiga meskipun dicabar empat pelumba lain termasuk Apiwath.
Kejayaan ini dijangka membakar semangat beliau bagi menghadapi perlumbaan kedua ASB1000 yang berlangsung pada 27 April ini.