Hafizh Syahrin Abdullah terlepas peluang menutup kempen Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 sebagai juara kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000).
Ini selepas pelumba JDT Racing Team itu sekadar menamatkan perlumbaan kedua ASB1000 di Buriram, Thailand di tempat keenam.
Selepas meraih tempat kelima dalam perlumbaan pertama pada 7 Disember lalu, Hafizh masih berpeluang menamatkan kempen ARRC 2024 sebagai juara ASB1000.
Bekas pelumba MotoGP itu perlu memenangi perlumbaan kedua kategori berkenaan. Kemenangan satu-satunya cara buat Hafizh memintas pendahulu kejuaraan dari Indonesia, Andi Farid Izdihar yang mewakili Honda Asia-Dream Racing.
Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh berjaya memotong beberapa pelumba lain untuk menduduki kedudukan ketujuh dengan harapan mengejar pelumba Indonesia itu.
Hafizh pada satu ketika berjaya meraih tempat keenam di belakang rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman. Walau bagaimanapun, kedudukannya dipintas rakan sepasukan Andi, Nakarin Atiratphuvapat menyebabkan beliau kini di tempat ketujuh.
Harapan Hafizh untuk bergelar juara semakin tipis apabila pencabar terdekat, Yuki Kunii berjaya merampas tampuk pendahulu perlumbaan. Peluang Kunii bergelar juara ASB1000 semakin besar apabila rakan senegara, Tetsuya Nagashima memintas Andi untuk menduduki tempat kedua.
Itu sudah cukup buat pelumba SDG Team HARC-PRO Honda itu meraih kejuaraan keseluruhan ASB1000. Hafizh pula menamatkan perlumbaan di tangga keenam sekaligus terlepas peluang menutup kempen ARRC 2024 dengan kejuaraan.
Meskipun gagal bergelar juara ASB1000, ini dilihat satu pencapaian baik buat Hafizh dan JDT Racing Team memandangkan ini penyertaan sulung mereka dalam saingan ARRC 2024.
Hafizh menamatkan ARRC 2024 di tangga ketiga keseluruhan dengan 154 mata, 19 mata di belakang Kunii.