Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan tunggangan mantap untuk meraih tempat kelima dalam perlumbaan terbaru Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024.
Sebelum ini, Hafizh berharap dapat memanfaatkan perlumbaan terakhir ARRC di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand untuk meraih kejuaraan kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000).
Meskipun begitu, permulaan pelumba JDT Racing Team untuk perlumbaan pertama ASB1000 sedikit mencabar. Ini kerana Hafizh meraih kedudukan ke-11 dalam sesi kelayakan dengan catatan masa 1 minit 36.651 saat.
Situasi ini sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada dua pencabar Hafizh untuk kejuaraan ASB1000, Yuki Kunii dan Andi Farid Izdihar. Ini kerana kedua-dua pelumba itu memulakan perlumbaan di tempat pertama dan ketiga.
Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh membuat permulaan baik dengan menduduki tempat keenam di belakang Kunii.
Andi Farid pula menerajui perlumbaan sambil dicabar dua rakan sepasukan dari Honda Asia-Dream Racing, Nakarin Atiratphuvapat dan Zaqhwan Zaidi.
Kesilapan Kunii ketika cuba memintas rakan senegara, Tetsuta Nagashima yang menduduki kedudukan keempat membuka ruang buat Hafizh memotongnya di tangga kelima.
Pada satu ketika, bekas pelumba MotoGP itu berada di kedudukan ketujuh di belakang Azlan Shah Kamaruzaman dan Nagashima.
Azlan Shah kemudiannya bernasib malang apabila terjatuh dari motosikalnya. Situasi ini membuka ruang buat Hafizh kembali menduduki tangga keenam perlumbaan.
Andi Farid kekal dominan untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Zaqhwan dan Kunii masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Hafizh memastikan cabaran kejuaraan beliau dalam kategori ASB1000 terus menyala apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Kini, beliau mempunyai peluang untuk memburu kemenangan dalam perlumbaan kedua di Buriram pada 8 Disember ini.