Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat menamatkan kempen Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 sebagai juara kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000).
Selepas lima perlumbaan ARRC 2024, Hafizh kini menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan 137 mata. Beliau hanya dipisahkan lima mata dengan pendahulu keseluruhan, Yuki Kunii.
Kunii yang mewakili SDG Team HARC-PRO Honda menerajui carta dengan 142 mata. Beliau diekori rapat oleh pelumba Indonesia yang mewakili Honda Asia-Dream Racing, Andi Farid Izdihar yang mengutip 140 mata.
Selain dua pelumba berkenaan, rakan sepasukan Andi Farid dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapat juga berpeluang mencabar Hafizh. Pelumba Thailand itu mengutip 128 mata.
Meskipun sedar berdepan cabaran sukar untuk pusingan keenam di Buriram, Thailand, Hafizh percaya itu bukan penghalang buat beliau untuk meraih kejuaraan ASB1000.
“Saya harap benda itu (kejuaraan ASB1000) berlaku seperti yang saya inginkan iaitu kemenangan berganda.
“Jadi, kita akan bekerja keras dari sekarang sehingga minggu perlumbaan itu, semua persediaan mentaliti dan fizikal berada pada tahap baik,” katanya kepada Nadi Arena.
Hafizh percaya peluangnya untuk berjaya dalam perlumbaan di Buriram turut dibantu dengan perubahan pada jentera Ducati yang bakal ditungganginya.
“Sebenarnya, kita sedar selepas perlumbaan di Sepang, kita menjumpai sesuatu pada jentera yang boleh diperbaiki lagi. Kita sedar perkara itu di Sepang sebab ketua krew saya datang dari Australia yang kerja dengan Ducati Dolci.
“Dia periksa keseluruhan motosikal dan sedar ada sesuatu yang kita boleh perbaiki pada jentera. Jadi, saya harap di Buriram nanti, ada satu penambahbaikan. Tak banyak tapi kestabilan motosikal paling penting sekali sebab pada awal musim, agak bergelutlah nak mengawal jentera ini sebab terlampau kuat.
“Dan pergerakan dia lebih agresif berbanding motosikal dalam grid yang saya bertanding. Saya harap di Buriram, masalah itu dapat diselesaikan agar kita dapat memberi cabaran lebih baik daripada sebelum ini,” ujarnya.
7 Disember bakal menyaksikan Hafizh bersaing dalam saingan kelayakan sebelum berentap dalam Perlumbaan 1 ASB1000.