Hafizh Syahrin Muncul Juara ARRC 2026
UltraSukan
ARRC

Hafizh Syahrin Abdullah sah bergelar juara Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026 untuk kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Meskipun Hafizh hanya meraih tempat kedua dalam perlumbaan kedua ASB1000, itu sudah cukup buat pelumba JDT Racing Team itu bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.

Hafizh sedar beliau hanya memerlukan jurang mata lebih 50 mata dengan pencabar terdekat, Keito Abe bagi memastikan gelaran juara ARRC miliknya. Ini ditambah dengan kejayaan memenangi perlumbaan pertama pada 5 September lalu.

Perlumbaan kedua ASB1000 menyaksikan Hafizh bermula di kedudukan keempat di belakang Zaqhwan Zaidi dan Abe. Rakan senegara Abe, Kaito Toba memulakan perlumbaan di petak utama.

Sebaik perlumbaan bermula, pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat mengetuai perlumbaan sambil diekori Abe, Zaqhwan dan Hafizh. Tatkala keempat-empat pelumba bersaing, Toba yang pada awalnya tercicir kembali mengejar.

Selepas berjaya memintas mereka, pelumba Jepun yang mewakili Forty Forged Asia Racing Team itu mula memimpin perlumbaan. Hafizh pula bergelut tatkala cuba memintas Abe dan Zaqhwan.

Selepas akhirnya berjaya memintas dua pelumba itu, pelumba JDT Racing Team itu mula mengejar Toba dengan jentera Ducati. Meskipun begitu, Toba kekal selesa mengekalkan jarak dengan Hafizh sebelum memenangi perlumbaan.

Podium tersebut sudah cukup buat pelumba JDT Racing Team itu muncul juara buat kali kedua berturut-turut. Ini kejayaan kedua pasukan itu selepas menggondol kejuaraan berpasukan keseluruhan ASB1000 pada 5 September lalu.