Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah bangkit daripada kekecewaan perlumbaan satu Asia Superbike 1000 (ASB1000) dengan meraih kedudukan ketiga dalam perlumbaan kedua kategori sama.
Selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima pada 14 September lalu, Hafizh berazam untuk bangkit di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Seperti perlumbaan satu ASB1000, kesemua pelumba akan bermula dari kedudukan yang diraih dalam sesi kelayakan pada 14 September. Hafizh memulakan perlumbaan di kedudkan pertama.
Sebaik perlumbaan bermula, nasib pelumba berusia 30 tahun itu kurang baik apabila dipintas dua pelumba Jepun, Yuki Kunii dan Soichiro Nakamoto.
Ini menyebabkan Hafizh terpaksa bekerja keras untuk memburu dua pelumba Jepun berkenaan. Pada masa sama, rakan senegara dari TKKR BMW Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman turut mengintai kedudukan podium yang diduduki beliau.
Pusingan terakhir perlumbaan menyaksikan Kunii dan Nakamoto masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua. Meskipun begitu, persaingan sengit terjadi antara Hafizh dan Azlan Shah untuk kedudukan ketiga.
Tatkala Hafizh berada dalam kedudukan selesa untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, Azlan Shah cuba memecut dengan harapan dapat memintasnya. Walau bagaimanapun, kedudukan ketiga kekal menjadi milik JDT Racing Team.
Ini podium terbaru pasukan itu dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 meskipun berstatus pendatang baru dalam kejohanan.
Kejayaan Kunii bergelar juara selepas meraih podium dalam perlumbaan satu turut menyaksikan beliau kini menerajui carta kejuaraan ASB1000. Hafizh bakal dicabar Kunii dan Andi Farid Izdihar untuk perebutan kejuaraan kategori itu.
Dengan satu lagi perlumbaan bakal berlangsung di Thailand pada Disember ini, saingan masih terbuka untuk menentukan juara kategori berkenaan.