Pemain sayap Terengganu FC, Hakimi Abdullah menjadi pemain terbaru menyertai Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Selepas memilih meninggalkan Terengganu untuk mencari lebih banyak minit permainan, ramai penyokong Peteh ingin tahu pasukan mana menjadi pilihan beliau.
Ini membawa kepada khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi. Beliau memaklumkan Hakimi bakal menyertai Kelantan DN secara pinjaman sehingga akhir musim ini.
“Kelantan Darul Naim (KDN) difahamkan berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap, Hakimi Abdullah dari Terengganu secara pinjaman hingga akhir musim 2024/25. Pengumuman rasmi menyusul,” katanya di X.
Kini, pengurusan Kijang Emas mengesahkan perpindahan pinjaman Hakimi menerusi pengumuman di platform media sosial rasmi pasukan itu.
“Kelantan Darul Naim FC mengesahkan kehadiran Hakimi Abdullah secara pinjaman dari Terengganu FC sehingga hujung musim.
“Hakimi berusia 24 tahun dan telah beraksi 50 perlawanan buat kelab negeri jiran itu sejak dibawa masuk pada musim 2021. Dia turut menjaringkan 10 gol,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Hakimi menjadi pemain ketiga menyertai Kelantan DN selepas bekas penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Mohd Fikri Che Soh dan penyerang import Palestin, Layth Kharoub.
Fikri sah menyertai pasukan itu pada 3 September sebagai ejen bebas selepas meninggalkan Sang Kenari. Kedua-dua pemain juga sudah mula menjalani latihan bersama pasukan yang dibimbing Park Jae-hong itu.