Hala tuju Cristiano Ronaldo dalam arena bola sepak profesional masih menjadi tanda tanya ramai apabila kontrak Ronaldo bersama Al Nassr bakal tamat Jun ini.
Penyerang kelahiran Portugal ini menyertai Al Nassr pada Januari 2023 yang lalu dan akan tamat pada akhir Jun 2025 ini.
Ronaldo masih belum membuat keputusan sama ada mahu memanjangkan tempoh kontraknya bersama Al Nassr atau berpindah ke kelab lain ataupun menyatakan persaraan dalam arena bola sepak.
Al Nassr menyatakan minat untuk melanjutkan kontrak Ronaldo sehingga tahun 2026 namun kegagalan pasukan itu dalam saingan Asia dan liga Arab Saudi sedikit merencatkan tawaran tersebut.
Al Nassr tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila tewas 2-3 kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada akhir April lalu.
Malah kelab tersebut turut gagal ke saingan ACLE musim hadapan setelah gagal menamatkan saingan liga dalam kelompok tiga teratas.
Al Nassr kini menghuni tangga keempat liga dengan meraih 64 mata selepas 32 perlawanan hasil 19 kemenangan, 7 seri, dan 6 kekalahan.
Sejak menyertai kelab Arab Saudi itu, Cristiano Ronaldo masih kemarau trofi utama bersama Al Nassr dan hanya pernah memenangi Piala Juara Kelab Arab yang dimenangi pada Ogos 2023 setelah menewaskan Al Hilal 2-1.
Namun Ronaldo kekal mempersembahkan prestasi yang unggul walaupun sudah berusia 40 tahun ketika ini apabila merekodkan 33 gol serta 4 bantuan jaringan dalam 39 perlawanan bersama Al Nassr.
Walaupun telah mencecah 40 tahun, Ronaldo masih belum memberikan tanda-tanda untuk bersara daripada bola sepak malah beliau seakan-akan mahu terus beraksi hingga Piala Dunia 2026 kelak.
Terdapat juga ura-ura menyatakan kelab dari Brazil ingin menyambar khidmat pemain Portugal itu bagi bersaing dalam Piala Dunia Kelab 2025 pada Jun ini namun tiada tawaran rasmi hingga kini.
Ronaldo kini telah menjaringkan 86 gol dalam 95 penampilan bersama Al Nassr dalam semua pertandingan sejak menyertai kelab itu pada awal Januari 2023.