Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berharap penyokong Harimau Malaya dapat memberi peluang kepada pemangku ketua jurulatih, Pau Marti Vicente.
Jurulatih Sepanyol itu dipilih FAM untuk menggalas peranan berkenaan. Ini selepas jurulatih sebelumnya, Kim Pan-gon memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Julai lalu.
Meskipun sebelum ini menggalas peranan sebagai pembantu Pan-gon, itu tidak menghalang Pau Marti daripada menunjukkan impak segera bersama skuad negara.
Beliau bukan saja membantu Harimau Malaya muncul juara Pestabola Merdeka 2024. Malah, Pau Marti turut merencana kemenangan pertama skuad negara ke atas lawan dari Timur Tengah sejak 2014.
Rekod ini dilakar dengan menerusi kemenangan 1-0 ke atas Lubnan di pentas final Pestabola Merdeka.
Dengan Pau Marti diberi tempoh sehingga penghujung tahun ini untuk mengemudi skuad negara, Hamidin berharap penyokong dapat memberi peluang kepadanya.
Ini kerana inilah peluang buat bekas jurulatih Barcelona itu membuktikan keupayaannya mengendali Harimau Malaya.
“Tempoh sampai bulan 12 ini tempoh bagus untuk kita menilai Pau Marti. Kita tak boleh pandang rendah, kita kena tengok,” katanya.
“Saya sudah beritahu dengan dia dan dia pun memahami, ini peluang dia untuk jadi pemangku ketua jurulatih.
“Dan ini peluang untuk dia buktikan. Saya cakap dengan dia, ‘Ini masa anda untuk buktikan.’ Sebenarnya, banyak jurulatih selepas Kim Pan-gon (meninggalkan Harimau Malaya) ada menghubungi kita, banyak nama besar.”
Selepas Pestabola Merdeka, tugasan Pau Marti seterusnya ialah aksi persahabatan antarabangsa dengan pasukan terkemuka Oceania, New Zealand pada Oktober ini.
Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak tahun 2006. New Zealand menewaskan skuad negara dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung pada 23 Februari 2006.
Malaysia bakal berentap dengan All Whites di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober ini.