Skuad Malaysia bimbingan Pau Marti Vicente telah memadam rekod buruk 25 perlawanan berdepan negara arab selepas menumbangkan Lubnan di final Pestabola Merdeka 2024.
Perlawanan menentang Lubnan itu adalah perlawanan ke-26 menentang negara arab buat skuad kebangsaan dalam tempoh 10 tahun.
Untuk rekod, sepanjang 25 perlawanan menentang negara arab sebelum ini, Malaysia gagal memenangi sebarang perlawanan, merekodkan hanya dua keputusan seri dan 23 perlawanan lagi berakhir dengan kekalahan.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Harimau MY Stats di laman X.
“Perlawanan bertemu Lubnan adalah perlawan ke-26 Malaysia bertemu pasukan Arab sejak 2014. 24 winless streak dicatatkan dari 2014-2024,” kongsi Harimau MY Stats.
Dalam aksi final Pestabola Merdeka, jaringan tunggal Romel Morales di babak pertama sudah mencukupi buat Malaysia menjulang trofi pertama di bawah kendalian Pau Marti.
Untuk rekod, kali terakhir skuad senior Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka adalah pada tahun 1993 iaitu 31 tahun yang lalu.