Cerita sebenar peletakan jawatan bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gom akhirnya terjawab.
Perkara ini dijelaskan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu sesi sidang media yang diadakan hari ini.
Katanya, situasi bermula selepas pengendali kelahiran Korea Selatan itu pulang bercuti selepas tamat pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Chinese Taipei.
“Selepas pulang dari cuti, beliau berjumpa dengan saya selama tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu, Ahad untuk menyatakan keinginannya melepaskan jawatannya. Saya dengan berat hati bersetuju kerana beliau menyatakan ada masalah dengan keluarganya.
“Saya mendapat panggilan telefon daripada beberapa pihak dari Korea seperti ejen dan media bahawa semasa cuti, Pan-gon telah ke kelab Ulsan HD untuk mengadakan perbincangan.
“Kekesalan saya adalah beliau sepatutnya jujur dengan saya bahawa beliau mendapat tawaran lain,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM, hari ini.
Hamidin bagaimanapun menghargai jasa yang diberikan oleh Kim Pan-gon terutamanya membantu Malaysia mendaki ranking FIFA lebih baik.
Malaysia bakal mengharungi aksi Pestabola Merdeka 2024 menentang Filipina pada 4 September sementara Tajikistan melayan tentangan Lubnan pada hari sama.
Harimau Malaya kini menghuni tangga ke-134 dunia dan menjadi pasukan ke-4 terbaik di Asia Tenggara ketika ini.