Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meminta penyokong negara agar bersabar dan realistik dengan kedudukan pasukan ketika ini.
Ramai penyokong Harimau Malaya merasa kurang senang dengan pencapaian pasukan itu yang kurang memberangsangkan sejak awal tahun ini.
Selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Asia 2023, Malaysia berdepan pula ranjau sukar untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Ini selepas Harimau Malaya dua kali tewas kepada Oman dalam dua aksi kelayakan yang berlangsung pada Mac lalu.
Hamidin memahami kerisauan penyokong tentang prestasi pasukan yang kurang memberangsangkan. Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa naik turun prestasi sesebuah pasukan merupakan sebahagian daripada asam garam dunia bola sepak.
Ini kerana sebelum ini, Malaysia pernah dipilih sebagai antara negara terbaik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Ini selepas Malaysia berjaya meraih peningkatan hebat dari kedudukan ke-178 kepada kedudukan ke-130.
Atas sebab itu, Hamidin meminta penyokong bukan saja bersikap realistik dari segi jangkaan mereka kepada pasukan. Malah, beliau meminta mereka terus bersama Harimau Malaya baik pada masa senang mahupun susah.
“Bola sepak ini takkan kita nak naik terus (dari segi prestasi) sampai kita sampai dengan itu dia (sasaran). Kita perlu ada sedikit sabar dan perlu realistik.
“Jadi, proses itu yang kita kena ikut. Jadi, kalau ikutkan satu rumusan, maka ini boleh dikira satu kejayaanlah. Walaupun jika anda bayangkan pada 2018, kita dapat ranking ke-178 (dunia).
“Kita boleh dapat ranking paling tinggi yang dia (Kim Pan-gon) bawa (iaitu) 130. Dekat 48 tempat, bukan senang nak dapat 48 tempat. Kita antara (pasukan) terbaik yang dipilih FIFA dalam tempoh dua tahun.
“Ini kita perlu hargai dengan apa semua. Kadang-kadang penyokong itu tak sabar, dia kalau boleh nak kalahkan Oman, nak kalahkan Jordan apa semua. Nak kalahkan apa semua.
“Saya faham tapi itu bukan realiti dia semua. Jadi, kita perlu tahu juga kita ini berada di mana sekarang,” katanya kepada MakanBola baru-baru ini.
Skuad negara bakal mengharungi baki dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan hadapan. Malaysia bakal menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 5 Jun.
Manakala Taiwan menjadi penutup kempen Kumpulan D yang diharungi Harimau Malaya. Perlawanan pada 11 Jun ini bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.