Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berpendapat prestasi skuad Malaysia di Piala Asia 2023 bukanlah satu kegagalan.
Beliau menganggap segelintir penyokong meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga terlupa dalam sukan bola sepak prestasi setiap pasukan ada naik dan turunnya.
“Jangkaan sebahagian besar para penyokong adalah tinggi dan bila kalah tercetuslah soalan mengapa A, mengapa B, mengapa C.”
“Namun kita harus ingat bahawa kita dalam masa dua tahun kita telah melonjak dengan begitu tinggi dan kadang kala mana-mana pasukan seperti Thailand prestasi mereka akan mendatar dan menjunam sebelum kembali naik.” ujar Hamidin menurut Astro Arena.
“Jadi kita harap kita akan kembali dengan lebih kuat untuk perlawanan seterusnya. Saya langsung tak mengatakan ini satu kegagalan kerana kita kembali berada di pentas Piala Asia setelah sekian lama. Pemain sedar dan kita perlu terus memperbaiki mutu permainan Harimau Malaya kelak.” tambahnya lagi.
Hamidin turut berkongsi tentang perancangan seterusnya buat pasukan Malaysia yang akan bertemu Oman pada bulan Mac.
“Kim Pan-gon ada berbincang dengan saya beberapa kali sejak di Doha tentang perancangan. kerana liga Malaysia akan bermula pada bulan Mei. Kita sedang berusaha untuk mengadakan sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan di Malaysia atau luar negara.” ujarnya.
Skuad kebangsaan Harimau Malaya mencatatkan dua kekalahan kepada Jordan dan Bahrain sebelum mengakhiri saingan Piala Asia 2023 dengan mengikat gergasi Asia, Korea Selatan.
Pasukan kendalian Kim Pan-gon kini akan fokus untuk aksi seterusnya dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 yang meletakkan Malaysia bersama pasukan Oman, Kyrygzstan dan Taiwan.