Advertising
Hamidin Puji Impak Segera Pau Marti
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin memuji impak segera yang dibawa Pau Marti Vicente kepada Harimau Malaya.

Selepas diumumkan sebagai pemangku jurulatih pasukan itu susulan pemergian Kim Pan-gon, jurulatih Sepanyol itu fokus mencorak resepi terbaik untuk Pestabola Merdeka 2024.

Ad

Hasilnya, skuad negara mengakhiri penantian 11 tahun bergelar juara Pestabola Merdeka dengan menewaskan Lubnan di pentas final pada 8 September lalu.

Ad

Lebih manis, ini juga kejayaan pertama Harimau Malaya ke atas pasukan dari rantau Timur Tengah dalam tempoh sedekad. Kali terakhir skuad negara melakukannya pada 2014 dengan menewaskan Yaman 2-1.

Hamidin mengakui berpuas hati dengan impak segera yang dibawa bekas jurulatih Barcelona itu. Dan beliau berharap momentum itu dapat diteruskan untuk aksi persahabatan seterusnya pada Oktober ini.

Ad

“Saya rasa Pau Marti (Vicente) menerapkan sistem (permainan dengan) cepat dengan pasukan. Dan pemain-pemain ini, mereka sudah biasa dengan Pau Marti. Dan alhmadulillah, macam kita tahu sukar bermain dengan pasukan Arab ini.

Ad

“Kita dapat menang dan kita harap momentum ini dapat diteruskan dalam aksi persahabatan pada bulan hadapan,” katanya kepada media selepas aksi kelayakan Piala Dunia 2026 antara Palestin dan Jordan di Stadium Cheras pada 10 September lalu.

Ad

Hamidin menyaksikan perlawanan itu bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jeneral Jibril Alrjoub dan Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA), Putera Ali Al Hussein.

Turut sama hadir dalam perlawanan itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan, Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Duta Besar Jordan ke Malaysia, Dr. Ismael Maddallah Suliman Maaytah.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 3-1 buat Al-Nashama. Dua gol Yazan Al-Naimat dan satu gol Noor Al-Rawabdeh memastikan Jordan meraih tiga mata sulung dalam Kumpulan B.

Selepas Pestabola Merdeka 2024, Malaysia bakal mengharungi aksi persahabatan dengan New Zealand di Auckland pada 14 Oktober ini.