Jordan terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Palestin dalam aksi kedua kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Al-Nashama dan Singa Kanaan memburu tiga mata pertama dalam Kumpulan B selepas masing-masing seri dalam aksi pertama kumpulan.
Pemain pertahanan Al-Faisaly, Mus’ab Al-Battat mengetuai cabaran Palestin. Manakala Ihsan Haddad pula diberi kepercayaan mengetuai cabaran Jordan.
Sebelum perlawanan dimulakan, kedua-dua pasukan bertafakur kira-kira lima minit. Ini bagi mengingati konflik Palestin-Israel yang semakin buruk terutama di Semenanjung Gaza.
Separuh masa pertama menyaksikan Al-Nashama selaku pasukan pilihan berusaha memburu gol awal. Kelibat Ali Olwan, Mahmoud Al-Mardi dan Yazan Al-Naimat ditagih Jamal Sellami untuk merobek gawang Singa Kanaan.
Jordan meraih kelebihan gol awal menerusi Yazan seawal minit kelima. Penyerang Al-Arabi itu berjaya melepasi cabaran dua pemain Palestin sebelum menewaskan penjaga gol, Baraa Kharoub.
Tersentak, Palestin terus memperkemas rentak untuk memburu jaringan penyamaan. Wessam Abou Ali hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-11.
Selepas berjaya melepasi cabaran pemain Jordan, Wessam melepaskan rembatan leret ke arah gawang Al-Nashama. Malangnya, rembatan penyerang Al-Ahly itu mudah diselamatkan penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila.
Kem Palestin ceria apabila Wessam mudah menanduk masuk hantaran bola yang menewaskan Yazeed pada minit ke-41. Gol tersebut memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Palestin memasukkan Moustafa Zeidan dan Mohammed Darwish untuk memperkemaskan lagi rentak pasukan.
Walau bagaimanapun, gawang Singa Kanaan bocor lagi buat kali kedua pada minit ke-50. Yazan sekali lagi merobek gawang Palestin untuk menyumbat gol ke-19 di peringkat antarabangsa bersama Jordan.
Ali hampir menyumbat gol ketiga Al-Nashama empat minit selepas itu. Malang buat penyerang baru Selangor FC itu apabila cubaan lambungnya terkena palang sebelum dikeluarkan pertahanan Palestin.
Pemain tengah Merah Kuning, Noor Al-Rawabdeh memastikan Jordan memiliki kelebihan dua gol dengan meledakkan gol ketiga pada minit ke-72.
Singa Kanaan terus memberi tekanan kepada Jordan untuk merapatkan jurang gol. Walau bagaimanapun, keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sumbangan dua gol Yazan menyebabkan beliau diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Penyerang berusia 25 tahun itu mendapat markah 9.0.
Selepas ini, Jordan bakal menentang Korea Selatan di Amman pada 10 Oktober. Manakala Palestin pula berdepan cabaran Iraq pada awal pagi 11 Oktober.