Hajat penyokong Selangor FC melihat penyerang Jordan, Yazan Al-Naimat menyertai pasukan itu tidak kesampaian.
Ini selepas penyerang berusia 25 tahun itu sah menyertai kelab Qatar Stars League (QSL), Al-Arabi beberapa hari yang lalu. Yazan menyertai kelab sebagai ejen bebas selepas dilepaskan kelab lamanya, Al-Ahli SC.
“Pengurusan kelab Al-Arabi telah memeterai kontrak dengan Yazan Al-Naimat pada petang tadi (petang 24 Ogos),” kata kelab dalam satu kenyataan. Penyerang itu memeterai kontrak sehingga tahun 2027.
Sebelum ini, timbul spekulasi yang mengaitkan bekas penyerang Sahab SC itu dengan Merah Kuning. Ini disebabkan Selangor memiliki tiga pemain Jordan sebagai tonggak import mereka.
Tiga pemain tersebut ialah Noor Al-Rawabdeh, Reziq Bani Hani dan Ali Olwan. Malah, Selangor juga pernah diperkuat dua tonggak Al-Nashama iaitu Bahaa Abdel-Rahman dan Yazan Al-Arab.
Seandainya Ali dan Yazan kembali digandingkan, mereka diharap mengulangi pencapaian membawa Jordan ke final Piala Asia 2023 bersama Selangor.
Dengan perpindahan Yazan ini disahkan, Selangor perlu mencari pemain lain untuk memperkuat cabaran mereka dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/25.
Merah Kuning berada dalam Kumpulan H bersama Jeonbuk Hyundai Motors, Muangthong United dan Dynamic Herb Cebu.
Yazan bakal berentap dengan legenda Syria, Omar Al-Somah, Rami Suhail dan Ahmad Alaaeldin untuk merebut slot penyerang utama Al-Arabi.