Mantan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menghargai sokongan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sepanjang menerajui badan induk itu.
Ini kerana sokongan yang diberi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) banyak membantu merealisasikan perancangan FAM.
Ini termasuk projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya yang dimulakan pada pertengahan tahun 2024.
“Beliau banyak membantu FAM dari segi sokongan kewangan. Sebagai contoh, beliau begitu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya.
“Saya mula mengadakan pertemuan dengan beliau pada awal tahun 2023. Selepas beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beliau, FAM mendapat peruntukan RM45 juta bagi pembinaan projek NTC Fasa 2.
“FAM juga harus berterima kasih kepada beliau atas pemberian geran padanan sukan untuk penganjuran program atau aktiviti seperti Pestabola Merdeka. Geran tersebut banyak membantu FAM melaksanakan program dirancang,” katanya.
Hamidin tidak mempertahankan jawatannya selepas memilih berbuat demikian dalam satu sidang media pada Disember 2024.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini selepas Anwar meluluskan peruntukan besar buat skuad Harimau Malaya seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025.
“Pada masa sama, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menambah peruntukan sebanyak RM30 juta kepada pasukan kebangsaan,” ujarnya.
Susulan itu, Datuk Mohd Joehari Ayub menang tanpa bertanding dalam Pemilihan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2025-2029 untuk jawatan Presiden FAM.
Joehari kini mengetuai barisan kepimpinan FAM untuk penggal 2025-2029. Selain beliau, dua legenda bola sepak Malaysia, Dato’ Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan turut tersenarai dalam barisan kepimpinan badan induk itu.