Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyedari akan kecaman yang diterima ketika beberapa pemain naturalisasi gagal memberikan impak yang diharapkan.
Dua pemain naturalisasi yang dianggap tidak berjaya adalah Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi. Hamidin menjelaskan selepas kegagalan dua pemain tersebut FAM menghentikan projek naturalisasi.
“Ketika saya mula memegang jawatan presiden pada 2018, salah satu manifesto saya adalah untuk memperkenalkan naturalisasi hingga sampai satu masa yang ditetapkan.
“Dipendekkan cerita, yang memiliki kontrak lima tahun berturut-turut ketika itu hanyalah Liridon dan De Paula. Itu adalah antara sasaran saya kerana saya rasa jika kita ada mereka, perkembangannya akan menjadi lebih cepat tetapi saya boleh sifatkannya memang betul gagal.
“Saya tahu peminat mempertikaikannya. Saya hanya mencuba kerana dalam peraturan FIFA, ia dibenarkan. Sepanyol, Perancis, Qatar, UAE (Emiriah Arab Bersatu), China semuanya pakai naturalisasi.
“Saya hanya mahu menyatakan kepada peminat, dah banyak kali saya nyatakan bahawa bola sepak kita sudah tertinggal jauh sangat dan kita mahu mempercepatkannya.
“Apabila De Paula dan Liridon gagal atas sebab-sebab tertentu, saya tahu kami mendapat kecaman dan saya terima pendapat semua orang.
“Dan di FAM, selepas mesyuarat jawatankuasa, kami membuat keputusan untuk menutup (projek naturalisasi) tetapi di peringkat kelab, saya tidak boleh tahan (proses naturalisasi) kerana pihak kelab ada hak (untuk menaturalisasikan pemain). Selepas lima tahun dia (pemain) memohon pasport dan sudah boleh bermain (sebagai pemain tempatan),” jelas Hamidin dalam rancangan Bola Itu Life yang disiarkan di Astro Arena.
Kini Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon membawa tiga pemain naturalisasi ke Piala Asia 2023 Qatar iaitu Mohamadou Sumareh, Paulo Josue dan pemain naturalisasi terbaru, Romel Morales.