Aksi persahabatan antarabangsa membabitkan Jepun dan Thailand pada 1 Januari 2024 amat dinantikan oleh peminat bola sepak kedua-dua negara.
Ini terbukti apabila Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menerima maklumat daripada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) bahawa jualan tiket untuk perlawanan di Stadium Nasional Jepun di Tokyo sudah habis dijual.
Pengumuman ini dibuat di laman media sosial Changsuek hari ini. Stadium Nasional Jepun mampu memuatkan 68,000 penyokong untuk aksi bola sepak berkualiti tinggi.
Kali terakhir ia digunakan sebagai gelanggang bola sepak ialah aksi final Emperor’s Cup membabitkan Kawasaki Frontale dan Kashiwa Reysol pada 9 Disember lalu.
Perlawanan tersebut menyaksikan lebih 62,000 penyokong hadir memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan.
Perlawanan Jepun-Thailand bukan saja perlawanan pemanas badan sebelum saingan Piala Asia 2023 bermula.
Malah, perlawanan ini juga merupakan perlawanan pertama Masatada Ishii sebagai jurulatih Thailand selepas mengambil alih peranan tersebut daripada Mano Polking.
Walaupun menurunkan barisan kedua menentang skuad Gajah Perang, Samurai Biru masih diperkuatkan pemain-pemain berpengalaman seperti Takumi Minamino (AS Monaco), Takuma Asano (VfL Bochum) dan Ritsu Doan (SC Freiburg).