Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tetap mengingati jasa bekas pengendali skuad bola sepak Malaysia, Kim Pan-gon.
Jurulatih Korea Selatan itu mencipta kejutan apabila mengumumkan pengundurannya sebagai pengendali Harimau Malaya pada 16 Julai lalu.
Pan-gon hanya menyatakan komitmen peribadi sebagai punca yang mendorongnya berbuat demikian. Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan jurulatih Sepanyol, Pau Marti Vicente sebagai pemangku jurulatih.
Meskipun tidak lagi bersama skuad kebangsaan, Pan-gon menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang membantunya terutama pihak kerajaan menerusi Hannah.
Ini kerana sokongan yang diberi amat membantu beliau sepanjang bergelar jurulatih Harimau Malaya dari 2022 hingga 2024.
“Terima kasih kepada kerajaan terutamanya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dia benar-benar menyokong kami.
“Dalam apa jua situasi, beliau tidak pernah memberi sebarang pandangan negatif, sentiasa minta saya untuk bersikap positif, tegas dan memandang ke hadapan. Saya tidak pernah melihat sokongan kerajaan seperti ini,” katanya.
Atas sebab itu, Hannah mengucapkan terima kasih kepada Pan-gon atas jasa yang ditabur kepada Harimau Malaya. Beliau juga mengucapkan selamat berjaya buat bekas pengendali Hong Kong itu.
“Terima kasih Coach Kim Pan-gon. Anda akan dirindui. Saya ucapkan selamat berjaya kepada anda pada musim hadapan,” katanya di Instagram.
Pan-gon dikhabarkan bakal berkelana ke Ulsan HD sebagai pengganti legenda Korea Selatan, Hong Myung-bo.