Bekas Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon akui mendapat dua tawaran gergasi Asia.
Perkara ini dikongsikan oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu dalam satu temu bual bersama Astro Arena baru-baru ini.
Beliau memaklumkan bahawa telah menerima dua tawaran besar dari Asia namun masih belum membuat keputusan muktamad.
“Saya fikir Ulsan telah menghantar satu kertas cadangan yang kuat (kepada saya). Kita belum putuskan lagi tapi pada mereka, saya sebahagian daripada calon (pengganti Hong Myung-bo). Kita belum putuskan lagi.
“Saya masih tidak boleh membuat keputusan setakat ini. Saya perlu menilai apa projek yang mereka (Ulsan HD) sedang jalankan. Saya sedang menyemak butiran kerana projek amat penting.
“Saya perlu melihat kesungguhan mereka, projek dan juga kuasa mutlak untuk menguruskan pasukan,” jelas Pan-gon kepada Astro Arena.

Beliau mengakui lebih gemar menguruskan pasukan kebangsaan namun tidak berminat untuk pulang kali ke-3 di Hong Kong.
Kim Pan-gon difahamkan telah menarik minat Hong Kong selepas pemergian Ketua Jurulatih, Jorn Andersen susulan prestasi hambar sebelum ini.
“Saya lebih menyukai menguruskan pasukan kebangsaan. Sangat mencabar dan semua orang bekerja keras. Kelab juga bagus sebab setiap hari di padang, saya boleh berada di padang setiap hari.
“Ini dua tugasan berbeza tetapi saya lebih gemar menguruskan pasukan kebangsaan,” ujarnya.