Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac mengumumkan tempohnya sebagai pengerusi badan itu tamat.
Perkara ini dikongsikan beliau menerusi satu hantaran di Instagram. Ini selepas kontrak beliau sebagai Pengerusi PSM selama dua tahun berakhir.
Hans turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana memberi peluang kepada beliau menerajui PSM.
“Setelah dua tahun (20 Mac 2025) memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) , saya ingin berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan juga Timbalan Menteri KBS, saudara YB Adam Adli untuk peluang yang diberikan pada saya .
“Tak lupa juga pada Ahli Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), pencapaian ini merupakan hasil kerjasama semua pihak,” katanya.
Hans turut memberi penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Illyas Jamil dan barisan tenaga kerja agensi berkenaan.
Beliau turut memaklumkan ini masa yang tepat buat beliau menerima cabaran baharu. Perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.
“Dengan 20 hasil dan cerita kejayaan dalam tempoh dua tahun di bawah pimpinan saya, saya gembira untuk mengatakan barisan ahli lembaga sudah memberikan yang terbaik untuk PSM dan semua pencapaian yang dilakar.
“Sudah tiba masa untuk saya menerima cabaran baharu di mana harapnya ia akan diumumkan pada masa yang sesuai,” tambahnya.
Antara pencapaian Hans sepanjang menerajui PSM ialah membantu entiti itu merekodkan pendapatan tertinggi sebanyak RM10.64 juta pada tahun 2024.
Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menyumbang RM1.8 juta di mana pendapatan ini dijana menerusi aktiviti bukan sukan seperti penganjuran konsert.
Konsert Coldplay yang diadakan di SNBJ pada 2023 saja merekodkan jualan tiket sebanyak RM51.9 juta.
Kepimpinan PSM turut menyakinkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk membenarkan Stadium Hoki Bukit Jalil dijadikan sebagai venue konsert. Ini membawa kepada penganjuran konsert Maroon 5 dan Green Day pada bulan Februari lalu.