Penganjuran konsert dan acara bukan sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah meraih hasil sebanyak RM1.8 juta.
Perkara ini didedahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semasa menjawab persoalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di Parlimen baru-baru ini.
Antara konsert yang diadakan di SNBJ pada tahun 2024 ialah Ed Sheeran (Februari), A.R. Rahman (Julai), Bruno Mars (September) dan Jay Chou (Oktober).
Sementara kutipan hasil penganjuran acara sukan seperti perlawanan bola sepak di SNBJ pula sebanyak RM1.2 juta.
Antara aksi bola sepak yang diadakan di stadium berkenaan aksi Pestabola Merdeka 2024, aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia dan aksi final Piala FA 2024.
Secara keseluruhan, Hannah memaklumkan Kuala Lumpur Sports City (KLSC) sudah meraih hasil sebanyak RM10.467 juta hasil sewaan venue sehingga Oktober tahun ini.
“Sehingga Oktober, sebanyak RM2.147 juta hasil sewaan venue telah direkodkan melibatkan 26 penganjuran acara sukan di KLSC.
“Bagi tempoh sama, sebanyak 54 penganjuran bukan sukan telah direkodkan melibatkan kutipan hasil sewaan venue sebanyak RM8.5 juta iaitu empat kali ganda hasil sewaan penganjuran acara sukan,” katanya.
Bagi memastikan padang SNBJ dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk aktiviti sukan, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) turut menyediakan dua tapak semaian rumput seluas lapan ekar.
Ini bagi memastikan padang tersebut tetap berkualiti untuk aktiviti sukan meskipun menjadi venue acara bukan sukan seperti konsert.