Tujuh kelab Liga Malaysia berpotensi beraksi di peringkat Asia selepas menerima lesen kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk musim 2024/25.
Menerusi senarai yang dikeluarkan AFC baru-baru ini, tujuh kelab tersebut ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Selangor FC, KL City FC, Perak FC, Sabah FC dan Penang FC.
Tujuh kelab ini terpilih daripada 11 kelab lain yang membuat permohonan kerana melepasi semua syarat pelesenan yang ditetapkan badan induk bola sepak Asia itu.
Ini termasuk mengambil berat soal kebajikan pemain dan staf, pengurusan fasiliti, aspek tadbir urus dan pembentukan skuad remaja
Lesen ini membolehkan ketujuh-tujuh kelab bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
JDT dan Selangor masing-masing akan membawa cabaran Malaysia dalam dua pertandingan bola sepak Asia yang berprestij itu untuk musim 2024/25.
JDT membawa cabaran dalam saingan ACLE selepas muncul juara Liga Super musim 2023. Sementara Selangor pula bersaing dalam ACL2 selaku naib juara Liga Super musim 2023.
Kedua-dua kelab berpotensi meraih ganjaran lumayan sekiranya berjaya bergelar juara dalam saingan yang disertai. Selangor berpotensi menerima AS$3.28 juta (RM15.4 juta) sekiranya bergelar juara ACL2.
Manakala JDT pula bakal menerima AS$12 juta (RM56.5 juta) sekiranya berjaya menggondol gelaran juara ACLE.