“Haqimi Azim Kena Main, Ada Kualiti Pemain Kebangsaan”
MakanBola
Terengganu FC

Pemain sayap kebangsaan, Haqimi Azim Rosli perlu bermain dengan kerap jika ingin terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Hal ini dinyatakan legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan apabila diminta mengulas perihal pemain sayap Terengganu FC itu.

Selepas tidak mendapat minit yang kerap bersama KL City FC pada separuh pertama musim 2025/26, Haqimi kini menyertai Peteh secara pinjaman sehingga akhir musim ini.

Zainal melihat minit permainan yang kerap penting bagi Haqimi lebih-lebih lagi dengan statusnya sebagai pemain kebangsaan.

Justeru, pemain sayap berusia 23 tahun itu perlu berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama dan tidak lagi berada di bangku simpanan.

“Saya mengenali beliau (Haqimi) boleh kata lama juga dan memerhatikan permainan beliau. Sampai bila beliau nak duduk di bangku simpanan? Saya tak anggap beliau pemain muda lagi.

“Saya anggap beliau seorang yang berkualiti nasional. Bila berkualiti nasional, sudah tiga tahun pun dia duduk di bangku simpanan lagi, ini bukan berkualiti nasional. Ini nak menunggu masa nak habis kerjaya.

“Jadi, beliau harus berada di dalam kesebelasan utama. Macam mana beliau harus berada di kesebelasan, beliau kena main. Beliau kena main dan beliau kena menjaga persembahan beliau,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Sejak menyertai Terengganu dari Johor Darul Ta’zim (JDT) secara pinjaman, Haqimi merekodkan tiga penampilan dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan.