Haqimi Azim Cipta Impak Segera Bersama Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Penyerang Malaysia B-23, Haqimi Azim Rosli mencipta impak segera bersama pasukan baharunya, Terengganu FC.

Ini kerana bantuan gol beliau membantu pasukan Pantai Timur itu menewaskan PDRM FC 1-0 di Stadium Selayang.

Selepas menyertai kelab itu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Haqimi pada awalnya dinamakan sebagai pemain simpanan untuk aksi tersebut.

Jurulatih interim, Tengku Hazman Raja Hassan kemudiannya memutuskan untuk memasukkan beliau pada babak kedua. Haqimi masuk sebagai pengganti Kyaw Min Oo.

Percaturan bekas jeneral tengah kebangsaan itu membuahkan hasil apabila hantaran Haqimi disudahkan seorang lagi pemain gantian, Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-85.

Kemenangan ini bukan saja menamatkan dua kekalahan yang dialami Peteh dalam dua aksi terakhir mereka. Malah, ini juga kemenangan pertama Tengku Hazman sebagai jurulatih interim Terengganu.

Peteh berharap dapat meneruskan rentak kemenangan apabila bertemu Brunei DPMM FC di Kuala Terengganu pada 13 Januari ini.

Selain Haqimi, dua bintang Tajikistan, Ehsan Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev juga merupakan rekrut baharu Peteh. Perpindahan mereka disahkan Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) baru-baru ini.