Perancang tengah BG Pathum, Chanatip Songkrasin bakal menjadi penghalang terbesar buat Johor Darul Ta’zim (JDT) berkunjung ke tempat lawan bagi aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Leo itu menyaksikan kedua-dua pasukan dalam usaha memburu kemenangan pertama di pentas Asia musim ini.
Kepulangan pemain berusia 29 tahun itu setelah mengalami kecederaan memberi impak yang cukup besar buat kelab Thailand itu untuk merekodkan kemenangan penting berdepan Lamphun Warrior.
Kemasukan Chanatip telah membuka ruang untuk BG Pathum menjaringkan dua gol dalam tempoh 3 minit selain mencatat satu bantuan gol.
Menerusi analisis yang dilakukan oleh laman JDT Fans, antara fokus dalam pasukan BG Pathum adalah untuk Chanatip melakukan gerak untuk mencipta peluang buat rakan sepasukan.
Berdasarkan aksi liga tempoh hari, bekas pemain Kawasaki Frontale itu banyak melakukan gerak di bahagian tengah bersama perancang tengah Costa Rica, Freddy Álvarez.
Berdasarkan rekod 5 aksi terakhir, jaguh Thailand itu sudah merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dengan aksi di laman sendiri menjadi kelebihan buat pasukan.
Chanatip pula sudah melakukan satu jaringan dan satu bantuan gol dalam 5 penampilan bersama BG Pathum United.
JDT akan berdepan BG Pathum pada 3 Oktober 2023 jam 8 malam.